You Are Here: Home » BIRO PENERANGAN DAN PENERBITAN » Ucapan Selamat Untuk Pengantin Baru Daripada Pimpinan Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu’tah (PERMATA)

Ucapan Selamat Untuk Pengantin Baru Daripada Pimpinan Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu’tah (PERMATA)

Ucapan Selamat Untuk Pengantin Baru.

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sukacita dimaklumkan bahawa saudara Mohd Hazman Yani bin Ahmad bersama pasangannya Saudari Mashitah Binti Zainol Abidin dan saudara Mohammad Firdaus Bin Mohamad Tarmizi bersama pasangannya saudari Nor Afifah Binti Zolkapli yang telah selamat diijabkabulkan pada cuti penggal ini, pihak PERMATA dengan ini mengucapkan  selamat pengantin baru dan semoga Allah S.W.T. memberkatinya.

Oleh yang demikian,saya ingin mengambil kesempatan mengajak ahli PERMATA sekalian untuk  merenung hakikat sebenar perkahwinan. Sebagaimana menurut Abu Hurairah r.a. apabila mendoakan seseorang yang baru melangsungkan perkahwinan, Rasulullah s.a.w. akan menyebut, “

(Semoga Allah memberkati kamu dan melimpahkan berkat kepada kamu dan menghimpunkan kedua kamu di dalam kebaikan.)”[3]
Inilah doa buat pengantin yang diajarkan oleh Rasulullah agar pengantin mendapat kebaikan dan kebahagiaan di dunia (generasi demi generasi dan di akhirat lagi diberkati Allah). Kita doakanlah pengantin yang diraikan dengan doa ini.

Justeru, asas perkahwinan yang bagaimanakah yang paling membahagiakan? Hakikatnya, Semua perkahwinan mengharapkan kebahagiaan, tetapi berapa orangkah yang dapat menikmati kebahagiaan? Apakah asas perkahwinan yang membuahkan kebahagiaan berpanjangan?

· Jika asas perkahwinan adalah kerana seks, maka pasangan akan selalu bertengkar jika suasana di bilik tidur tidak memuaskan.
· Jika asas perkahwinan adalah kerana harta,
maka pasangan bakal bercerai jika ekonomi dalam rumah tangga merudum dan muflis.
· Jika asas perkahwinan kerana kecantikan wajah dan tubuh badan,
pasangan akan lari apabila rambut beruban, muka kerepot atau badan jadi gendut.
· Jika asas perkahwinan kerana anak,
maka pasangan akan mencari alasan untuk pergi jika hati (anak) tidak hadir.
· Jika asas perkahwinan kerana keperibadian,
pasangan akan lari jika orang berubah tingkah lakunya.
· Jika asas perkahwinan kerana cinta,
hati manusia itu tidak tetap dan mudah terpikat pada hal yang lebih baik, tambahan pula manusia yang dicintai pasti mati atau pergi.
· Jika asas perkahwinan kerana ibadah kepada Allah,
sesungguhnya Allah itu kekal dan Maha Pemberi Hidup kepada makhluk-Nya. Allah mencintai hamba-Nya melebihi seorang ibu mencintai bayinya. Maka, tidak ada alasan apa pun di dunia yang dapat meretakkan rumah tangga kecuali jika pasangan menderhakai Allah.

Kebahagiaan dalam perkahwinan mesti dimulakan dengan langkah yang pertama iaitu pemilihan yang tepat! Pemilihan tepat perlukan kriteria pemilihan. Kita perlu bertindak dengan berhati-hati dan cermat dalam membuat pilihan agar tidak tersalah pilih. Ingatlah bahawa Allah memakbulkan permintaan kita menurut kehendak ‘niat’.

Jika kita menginginkan jodoh yang baik, mulailah daripada diri sendiri menjadi baik dan carilah di tempat baik pula. Bagaimana kita inginkan pasangan hidup yang baik sedangkan kita sebaliknya, bagaimana pula kita inginkan pasangan seorang yang bertaqwa dan bertanggungjawab sedangkan kita acuh dan sambil lewa dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Diriwayatkan daripada Umar bin Khattab bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Pahala perbuatan itu tergantung niatnya, setiap orang akan mendapat pahala sesuai dengan niatnya. Sehingga, sesiapa saja yang berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya bernilai di sisi Allah dan rasul-Nya, dan sesiapa saja berhijrah kerana keuntungan dunia atau kerana untuk menikahi wanita, maka yang diperolehnya hanya terbatas apa yang diniatkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).
Jika sebelum kahwin, kita adalah orang yang gemar dan tegar berhubung dengan perempuan dan sebaliknya, jadi jangan suatu hari nanti kita tertanya-tanya kenapa isteriku begini dan mengapa suamiku begini dan andaikata kita adalah insan yang tidak kenal dosa dan pahala, halal dan haram ketika bersama berlainan jantina maka janganlah suatu hari nanti anda tertanya-tanya jika ia berlaku dikalangan anak isteri kita.

“Dia adalah kawan lama sekolah saya, dia kawan sekampung saya, saya anggap dia sebagai abang/kakak, dia adalah tunang saya”, inilah selalu jawapan yang akan diberi jika ditanya kebanyakan pasangan-pasangan yang lupa halal haram dosa dan pahala yang diperolehi dari dewan kuliah. Ingatlah tiada sebab yang menghalalkan perhubungan antara dua jantina melainkan sesudah sahnya diijabkabulkan.
Jika ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka mulalah dengan memperbaiki diri sendiri kerana Allah menetapkan takdir, bahawa:” (Lazimnya) perempuan yang jahat untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih daripada (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (daripada Allah) dan pengurniaan yang mulia.” (Surah an-Nur, ayat 26)
Bagaimanakah kita akan mendapat pasangan sebaik Saidatina Khadijah atau Saidatina Fatimah jika tidak sebaik Rasulullah atau Saidina Ali.Semoga pemilihan yang berdasarkan kepada kriteria di atas akan mendapat kebahagiaan hakiki di dunia dan akhirat.

Menjadi suami yang soleh dan isteri yang solehah merupakan idaman setiap pasangan yang berkahwin. Namun berapa ramai pula yang mampu untuk menjadi ayah dan ibu yang baik bagi anak-anak mereka? Oleh itu ilmu keibubapaan juga penting dalam melahirkan anak yang soleh dan solehah. Persediaan melahirkan anak yang soleh dan solehah bermula dari ibu bapa itu sendiri. Bukan selepas anak dilahirkan, tetapi sebelum berkahwin lagi perlu membuat persediaan.

Oleh itu, saya mewakili seluruh kepimpinan PERMATA ingin mengucapkan selamat pengantin baru kepada semua pasangan yang selamat diijabkabulkan pada percutian semester kali ini iaitu:

  1. Mohammad Firdaus Bin Mohamad Tarmizi dan Nor Afifah Binti Zolkapli
  2. Mohd Hazman Yani Bin Ahmad dan Mashitah Binti Zainol Abidin

Ya ALLAH, berkatilah mereka, himpunkanlah mereka dalam kebaikan dan kasih sayang yang berpanjangan dan kurniakanlah kepada mereka lidah yang lembut dan sentiasa menyebut nama-MU, hati yang bersih, iman dan ketaqwaan yang mantap, kesabaran dan pengorbanan yang tinggi, saling menyayangi, bertolak ansur dan memahami antara mereka sertahidup dalam kebahagiaan dan ketaqwaan.

MUHAMMAD HUSSIN BIN MOHD FAUZI
Presiden PERMATA sesi 2010/2011
3 Safar 1432 H / 26 Januari 2011 M

About The Author

Number of Entries : 369

Comments (2)

Leave a Comment

Scroll to top