You Are Here: Home » Ilmiah » Perkara-perkara sunat dan larangan ketika Aidilfitri

Perkara-perkara sunat dan larangan ketika Aidilfitri

kartulebaran-10

Hari Raya boleh diibaratkan seperti R&R atau tempat persinggahan kepada manusia dalam bermusafir menjalani jalan-jalan kehidupan. Ia juga boleh diibaratkan oasis ditengah-tengah kekeringan padang pasir yang menjadi harapan pedagang meneguk air menghilangkan kehausan. Oleh itu, dalam lembaran sejarah kita melihat tidak mengira agama atau bangsa sudah tentu mempunyai hari perayaan tertentu untuk menzahirkan rasa gembira dan bersuka ria.

Islam tidak terkecuali. Zaman jahiliyyah dahulu, seperti yang diceritakan oleh Anas r.a, kaum ansar mempunyai dua hari yang mereka sambut dan rayakan bersama. Namun, baginda telah berkata kepada beliau bahawasanya Allah telah menggantikan perayaan tersebut dengan dua hari yang lebih baik dari keduanya iaitu hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Hari raya dalam islam mempunyai perkaitan besar dengan ibadah yang telah disyariatkan. Aidilfitri seperti sedia maklum berkait rapat dengan ibadah puasa bahkan dianggap sebagai hari kemenangan kepada umat islam. Disebabkan itu manusia dituntut untuk bergembira menyambut hadiah istimewa tersebut daripada Allah s.w.t. Baginda s.a.w bersabda:

Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, gembira ketikamana dia berbuka, dan ketika dia pulang bertemu Allah s.w.t dia gembira dengan puasanya (amal kebaikan). [Muttafaq ‘Alaih]

Bergembira ketika berbuka di sini membawa dua maksud iaitu gembira ketika berbuka pada setiap hari dalam bulan Ramadhan setelah azan berkumandang, maka dia meraikan kejayaannya berpuasa pada hari tersebut. Maksud yang kedua pula adalah gembira setelah tamatnya bulan Ramadhan dalam erti kata berjaya berusaha untuk taat kepada Allah dalam menjalani perintah-Nya selama sebulan bukan bebas menuruti hawa nafsu kerana sungguh Ramadhan membawa seribu kebaikan.

 

Hakikat berhari raya

Rata-rata umat Islam hari ini bergembira dengan syawal yang saban tahun menjelma. Tetapi kekeliruan dalam meraikan masih pada tahap yang sama. Maka tidak hairanlah pada tanggal 1 Syawal sahaja ramai dalam kalangan orang Islam yang menyambutnya dalam keadaan dicemari dengan maksiat seperti keseronokan melampau hingga tidak menjaga batas pergaulan, pertuturan dan sebagainya.

Hari raya hakikatnya mempunyai maknanya yang tersendiri yang perlu dititikberatkan iaitu makna Rabbani dan makna Insani.  Makna rabbani bermaksud manusia itu tidak lupakan tuhannya meski dalam kegembiraan berhari raya. Ia bukan membawa erti keseronokan hari raya itu membenarkan kita meletakkan hawa nafsu sebagai panduan atau pembebasan dari ibadah dan ketaatan. Bahkan hari raya itu perlu diisikan dengan amalan kebaikan dan lebih baik dituruti dengan perkara sunat.

Ia bukan sekadar perbuatan tambahan bagi kita dalam ibadah (sunat), tetapi ia menggambarkan wajah ibadah kita dalam ramadhan dek kerinduan dan rasa cinta kita beribadah bersungguh-sungguh dalam bulan yang mulia tersebut hingga terbawa-bawa pada bulan luar selain darinya. Maka di sini matlamat menjadi hamba yang rabbani itu tercapai bukan hamba ramadhani.

Makna insani pula boleh diertikan kepada dua iaitu melengkapi fitrah seorang manusia yang perlu hidup bergembira pada beberapa ketika di atas kejayaan (berpuasa) yang dikecapi juga sebagai hadiah yang teragung. Selain itu, ia membawa maksud memberi kegembiraan kepada manusia yang lain juga melalui sedekah yang disumbangkan dan zakat fitrah yang wajib dilaksanakan.

 

Perkara-perkara sunat dan larangan Aidilfitri

  1. Malam hari raya

i- Menyambut hari raya dengan takbir dan tahmid

Perkara ini disebutkan di akhir ayat setelah penerangan tentang berpuasa seperti dalam ayat yang selalu dibaca:

Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah (takbir) kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. [al-Baqarah:185]

Takbir mempunyai dua bahagian iaitu mutlak dan muqayyad. Takbir mutlak adalah takbir yang berterusan yakni tiada had masa yang dikhususkan. Bagi Aidilfitri maka ia bermula pada malam akhir ramadhan hingga sebelum solat sunat hari raya. Dalam tempoh ini kita disunatkan bertakbir tidak kira samada di masjid, di rumah dan sebagainya.

Takbir muqayyad ataupun yang bersangkutan padanya itu dengan sesuatu yang lain hanya pada aidiladha kerana takbir itu dilakukan setelah usai kita bersolat fardu. Bahkan sebahagian ulama’ menetapkan ia bisa dilakukan setelah solat berjemaah.

Mengenai lafaz takbir tiada hadis yang sahih yang menetapkan bacaan tertentu kecuali dalam suatu riwayat yang disebutkan oleh Ibn Mas’ud dan diguna pakai oleh Imam Ahmad iaitu dengan lafaz:

الله أكبر.. الله أكبر.. لا إله إلا الله .. والله أكبر .. ولله الحمد

Adapun penambahan lafaz yang lain seperti salawat dan sebagainya tidak disebutkan dengan jelas. Namun demikian, lafaz-lafaz yang lain yang mengandungi puji-pujian ke atas baginda bukan beerti salah untuk diamalkan tetapi tidak dikhususkan pada takbir hari raya sahaja.

 

ii- memperbanyakkan doa

Dalam sebuah hadis yang berstatus lemah disebutkan bahawa terdapat 5 malam yang mana tidak akan tertolak doa seseorang itu dan diantaranya adalah pada malam hari raya aidilfitri dan aidiladha. Walaupun begitu, Imam Syafie ada menyebutkan bahawa berdoa pada malam-malam tersebut tidak menjadi kesalahan bahkan amat disukai tetapi menetapkan ia sebagai kefarduan merupakan suatu kesalahan.

iii- bergembira tetapi batasan terjaga

Kesedihan pemergian ramadhan bukan bermakna menjadi penghalang untuk kita bergembira pada malam hari raya kerna ia pergi meninggalkan kita hanya bersama kelebihan yang ada padanya. Adapun Allah tuan kepada ramadhan dan juga kita masih ada dan tetap mendengar rintihan hamba dan tidak pernah berhenti mengurniakan rahmat-Nya.

Justeru, sepatutnya kita perlu terus meminta untuk diistiqamahkan segala kebaikan yang telah dilakukan dalam bulan ramadhan ke dalam bulan yang lainnya. Dr Yusuf Qardawi pernah berkata dalam khutbahnya:

Barangsiapa yang menyembah ramadhan maka ia telah pergi, barangsiapa yang menyembah Allah maka Dia tetap ada mendengar doa-doa kita.

Adapun bergembira perlu kena batasannya. Dalam pergaulan antara lelaki dan wanita terutamanya perlu dijaga. Jangan mulakan hari kita, setelah melangkah keluar dari bulan mulia dengan maksiat. Bergembira dengan bermain mercun sebaiknya cuba elakkan. Selain membawa kepada pembaziran ia juga boleh memudaratkan. Jika sampai kepada tahap ini maka ia adalah ditegahkan untuk dilakukan.

 

2-      Amalan di pagi hari raya

i-  mandi sunat aidilfitri

Perbuatan ini disebutkan oleh Imam Malik daripada athar Saidina Umar yang berbuat demikian sebelum beliau keluar untuk menunaikan sola sunat. Tambahan, mandi sunat ini digalakkan untuk semua kelompok manusia lelaki sama ada dewasa atau kanak-kanak juga wanita hatta dalam keadaan berhadas tetapi niat mandi sunat aidilfitri bukan mandi wajib. Dari sudut waktu, kita lebih digalakkan untuk mandi setelah solat subuh.

 

ii- Memperindahkan hiasan diri

Umumnya bagi semua lapisan manusia pemakaian yang indah amat digalakkan pada hari tersebut. Tidak semestinya baru tetapi ia pakaian terbaik yang kita ada. Jika mampu menyediakan yang baru lebih baik dengan syarat tidak membazir. Bagi lelaki sunat untuk memakai wangi-wangian tidak bagi wanita sekadar keperluan sahaja di samping tidak memakai pakaian yang menarik perhatian jauh sekali yang tidak menutup aurat juga tidak berlebihan dalam bersolek.

Adapun perhiasan yang melampau bahkan salah di sisi agama tidak sama sekali dibenarkan hingga mungkin kepada tahap ingin mengubah ciptaan Allah. Sungguh pada setiap kejadian Allah itu ada hikmahnya dan Dia Maha Sempurna begitu juga ciptaan-Nya. Larangan mengubah ciptaan ini ada disebutkan dalam al-Quran bahkan ditegaskan bahawa ia adalah ikutan daripada syaitan:

Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata”. (Surah al-Nisa’:119)

Antara perkara-perkara yang ditegah untuk dilakukan seperti yang diriwayatkan dalam hadis dari Abdullah ibn Mas’ud:

 Allah melaknat orang yang membuat tatu, yang meminta dibuat tatu untuknya, yang mencukur kening, yang meminta dicabutkan bulu di mukanya dan orang yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang mana mereka semua telah menukarkan ciptaan Allah.  [Muslim:3945]

Hari ini, terutama dalam perihal mencukur kening seolah menjadi kebiasaan walhal ia adalah perkara yang dilarang dalam islam. Tambahan membuat pembedahan plastik untuk tujuan kecantikan adalah dilarang. Namun demikian, berlaku pengecualian jika ia memudaratkan tubuh badan atau dengan hadaf perubatan maka ia dibenarkan.

 

iii- Makan sebelum bersolat sunat hari raya

Biasanya sewaktu ramadhan kita akan berhenti makan tatkala azan subuh kedengaran. Justeru, bagi membezakan hari ramadhan dan hari raya aidilfitiri disunatkan kepada kita untuk makan sedikit seperti pernah dilakukan oleh baginda s.a.w dalam hadis daripada Anas r.a:

“Nabi s.a.w. tidak keluar untuk menunaikan solat sunat pada pagi hari Aidulfitri sehinggalah baginda makan beberapa biji tamar terlebih dahulu.”[Bukhari:899]
Dalam riwayat yanglain menyebutkan bahawa baginda memakan tamar itu dalam jumlah yang ganjil.

 Adapun berpuasa pada hari ini (1 Syawal) adalah haram hukumnya. Namun, kita masih disunatkan bahkan amat dituntut untuk melakukan puasa sebanyak 6 hari dalam bulan syawal yang mana ganjarannya cukup besar. Daripada Abu Ayub Al-Ansari:

“Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian disusuli dengan enam hari dari Bulan Syawwal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” (Muslim:1976)

Orang yang bertaqwa pasti merindui ramadhan. Bahkan para sahabat baginda s.a.w menangisi pemergiannya hatta ada yang mengharap sepanjang tahun itu adalah ramadhan. Demikian Allah kurniakan ganjaran yang sama dengan berpuasa sepanjang tahun. Maka rugilah mereka yang tidak berusaha merebut peluang keemasan ini. Cuma perlu diingatkan, janganlah kita terlalu banyak  makan hingga kita lupakan akan kesihatan kita. Berwaspada.

 

iv- Keluar beramai-ramai ke masjid untuk menunaikan solat

Demi menzahirkan rasa kegembiraan manusia terhadap hari raya maka disuruh para wanita yang dalam keadaan haid sekalipun untuk turut serta tapi bukan bersolat sekadar mendengar khutbah dan meraikan kemeriahan. Ummu A’tiyah ada berkata:

Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada aidilfitri dan aidiladha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (HR Bukhari).

Tambahan lagi kita lebih digalakkan untuk berjalan kaki sekiranya berkemampuan juga tidak mendatangkan mudharat yang lain kerana dengan itu kita lebih dapat banyak peluang dengan ramai orang seperti saranan baginda pada pagi hari raya.

v- Solat sunat aidilfitri

Waktu solat ‘eid ini dilakukan pada waktu pagi namun tidak digalakkan untuk dilakukan terlalu awal kerana memberi peluang kepada umat islam untuk menyempurnakan tuntutan zakat juga memberi ruang untuk bertakbir dan bertahmid kerana aidilfitri masa untuk ibadat keduanya sebentar cuma. Tamabahan lagi solat sunat sebelum melaksanakan solat ‘eid tidak disyariatkan seperti hadis nabi s.a.w dari Ibn Abbas r.a:

Sesungguhnya nabi s.a.w keluar untuk bersolat hari raya ‘eid sebanyak dua rakaat tetapi tidak menunaikan solat sunat sebelum atau selepasnya dan bersama-sama baginda adalah Bilal.[Bukhari:934]

Tambahan lagi, solat sunat eid ini tidak perlu kepada azan dan juga khutbahnya adalah selepas solat bukan seperti solat Jumaat iqamah seperti sabda baginda s.a.w:

Sesungguhnya tidak ada azan untuk solat aidilfitri dan aidiladha, dan sesungguhnya khutbah itu selepas usai solat(sunat hari raya) [Bukhari:905]

Cara-cara solat sunat hari raya

1)   Bahawa nabi s.a.w bersolat (sunat ‘eid) sebanyak dua belaskali takbir, tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua. [HR Ahmad]

2)  ‘Umar bin Al Khattab pernah menanyakan pada Waqid Al Laitsiy mengenai surah apa yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w  ketika solat ‘AidilAdha dan ‘AidulFitri.D ia  menjawab,

 “Nabi s.aw. biasa membaca “Qaaf, wal qur’anil majiid” (surah Qaaf) dan “Iqtarobatis saa’atu wan syaqqol qomar” (surah Al Qamar).” [Muslim:1469]

 

3)  Daripada Nu’man bin Basyir, “Rasulullah s.a.w biasa membaca dalam solat ‘eid mahupun solat Jum’at “Sabbihisma robbikal a’la” (surah Al A’laa) dan “Hal ataka haditsul ghosiyah” (surah Al Ghasyiyah).”[Muslim:1444]

Daripada hadis-hadis di atas bisa disimpulkan dalam bentuk yang mudah.

Rakaat pertama:
a) Takbiratul ihram dan tujuh kali takbir beserta tasbih, tahmid, dan takbir
b) Bacaan al-Fatihah dan surah digalakkan surah Qaf atau al-‘Alaa
c) ruku’ dan sujud seperti biasa

Rakaat Kedua:
a) takbir lima kali beserta tasbih, tahmid dan takbir
b) Bacaan al-fatihah dan surah digalakkan surah al-Qamar atau Al-Ghasyiyah
c) ruku’ dan sujud seperti biasa dan diakhiri dengan salam.

Adapun hukum untuk solat hari raya berbeza pendapat ulama’ akannya. Imam Malik dan Imam Syafie menetapkan sebagai sunat yang amat dituntut. Manakala Imam Ahmad Ibn Hanbal menyatakan ia sebagai fardu kifayah sementara imam Hanafi sebagai wajib.

Khutbah ‘Eid

Solat hari raya mungkin berbeza pendapat para ulama’ mengenainya. Adapun khutbah ‘eid hukumnya adalah sunat kerana thabit dari hadis baginda s.a.w daripada Abdullah bin As-Saib berkata:

“Aku saat ini akan berkhutbah. Siapa yang mau tetap duduk untuk mendengarkan khutbah, silakan ia duduk. Siapa yang ingin pergi, silakan ia pergi. [HR An-Nasai, Ibn Majah dan Abu Daud]

Beza khutbah ini selain dari segi hukum ia juga dilaksanakan setelah usai solat seperti hadis yang disebutkan sebelum ini. Adapun tuntutan mendengar peringatan amat dititikberatkan terutama bagi wanita kerana pada kesempatan ini bukan sekadar yang dibenarkan solat sahaja bahkan mereka yang dalam keadaan uzur juga digalakkan duduk mendengar nasihat kerana sungguh nasihat itu amat bermakna. Selain itu juga, hikmahnya adalah kita bisa berjumpa dengan ramai orang dan memberi ucapan tahniah.

vi- Disunatkan pergi dan pulang dari solat melalui jalan yang berbeza.

Setelah usai bersolat, hendak pulang daripada solat ‘Eid kita disunatkan untuk mengambil jalan yang berbeza seperti perbuatan nabi yang dirawayat oleh Jabir r.a:

“Nabi s.a.w  jika bersolat `Eid, Baginda mengambil jalan yang berbeza antara pergi dan pulang” (HR Bukhari)

Kemungkinan hikmah perbuatan baginda adalah supaya kita dapat berjumpa dengan manusia bagi mengeratkan hubungan sesama kita. Adapun perkataan yang digalakkan untuk disebutkan ketika bertemu adalah yang baik dan menggambarkan suasana yang gembira. Bagi para sahabat mereka sering mengucapkan:

“TaqabbalaLlah minna wa minkum (semoga Allah menerima amalan kami dan kalian)”  

vii- Saling menziarahi dan menziarahi kubur

Dituntut juga kita saling menziarahi sesama saudara dan sahabat handai untuk mengeratkan sillaturahim. Cuma perihal bersalaman antara bukan mahram perlu dititik beratkan supaya tidak hilang keberkatan aidilfitri yang merupakan hadiah agung daripada Allah. Bersama ini saya lampirkan artikel berkenaan hukum salam dengan yang bukan mahram.

Ketika berziarah pula adab-adab dan nilai murni perlu dijaga. Tidak terlalu lama. Menjaga batasan pandangan. Adapun jika dihidangkan makanan walhal kita sedang berpuasa, maka sunat untuk kita berbuka bagi meraikan tuan rumah yang bersusah payah menyediakan makanan seperti perbuatan nabi s.a.w yang disebutkan dalam hadis.

Dalam bab menziarahi kubur tidak disyariatkan untuk berziarah ketika pagi hari raya. Tetapi mengambil alasan bahawa pada ketika inilah kebanyakan dalam kalangan manusia pulang ke kampong halaman. Maka ini adalah kesempatan mereka untuk berziarah. Tiada masalah. Cuma yang salah dari sudut pemikiran adalah waktu pagi ini sahaja yang mesti berziarah bagi mereka yang berdekatan.

Konklusi: Istiqamah

Ramadhan merupakan bulan perniagaan kita dengan Allah s.w.t yang mana segala modal dikeluarkan oleh Allah bermula daripada kudrat kita berpuasa dan melakukan ibadah yang lainnya hinggalah kepada fadhilat-fadhilat yang terdapat dalam bulan ramadhan.

Tetapi baiknya Allah segala keuntungan kita perolehi. Bahkan tidak membawa untung apapun pada Allah jika kita ambil atau tinggal. Kita hanya ibarat peniaga yang hanya berusaha menggunakan modal untuk keuntungan kita semata-mata dan pasti jika kita merebutnya maka tiada sebarang kerugian yang ditanggung.

Adapun setelah berlalu ramadhan ini, maka promosi-promosi yang disediakan pada mulia tersebut tidak lagi dapat kita kecapi. Pun begitu rahmat Allah senantiasa terbuka untuk kita meminta doa. Paling penting adalah kita berdoa moga Allah kuatkan kita untuk istiqamah dengan kebaikan yang dilaksanakan pada bulan ramadhan dapat kita praktikkan pada bulan yang lain.

Melihat tarbiyah ramadhan berkesan bukan pada ketika kita berada di dalamnya, tetapi bagaimana kesannya pada kehidupan sebelas bulan mendatang dari sudut ibadah dan juga akhlak kita.

~Wallahualam~

 

Rujukan:

1)      Qaradawi.net

2)      Fiqh Sunnah Sayyid Sabiq (terjemahan)

 

Sumber artikel : Langit Ilahi by MUIZ

About The Author

Number of Entries : 370

Leave a Comment

Scroll to top