Home » BA, Terkini PERMATA » Lets Generate Together On 302 : FESTIVAL BKAPJ – ICOMS

Lets Generate Together On 302 : FESTIVAL BKAPJ – ICOMS

 

Dalam menempuh alaf baru yang sedang berkembang pesat , golongan mahasiswa sentiasa menghadapi pelbagai cabaran global yang menuntut mereka membuat perubahan selaras dengan cabaran-cabaran semasa yang sedang dihadapi. Manusia di segenap lapisan umur berlumba-lumba untuk menimba sebanyak mungkin ilmu supaya dapat berjalan pantas seiring dengan ledakan dunia informasi. Tambahan pula, masyarakat memandang pada kredentialiti mahasiswa yang tinggi secara holistik untuk mendominasi sesebuah negara.

Bagi merealisasikan visi dan  misi tersebut, Badan Kebajikan Anak Negeri Perak Jordan (BKAPJ) dan Biro Akademik PERMATA 2011/2012 tampil dengan menganjurkan bersama suatu program berkembar yang julung-julung kalinya diadakan di Jordan. Program berkembar ini dinamakan sebagai FESTIVAL BKPJ & ‘Intelectual Conference Of Mu’tah Student‘ (ICOMS) dengan bertemakan ‘Adaptasi Quranik Melestarikan Ulul Albab’ yang bertujuan membuka gerbang keemasan kepada para mahasiswa untuk meningkatkan kemahiran diri bagi menjadi reformis dinamis bagi memanifestasikan generasi Ulul Albab yang formatif.

Program yang julung-julung kali diadakan seumpamanya akan berlangsung pada 2 dan 3 Februari 2012 bertempat di Dewan Masrah, Universiti Mu’tah. Apa yang menariknya program ini menampilkan barisan penceramah intelektual dari ahli akademik PhD dan Master lagi disegani yang akan mengupas serta membentang kertas kerja bertajuk kontemporari yang dihasilkan dan digarap oleh mereka sendiri. Program ini juga akan turut diisi dengan wacana ilmiah oleh ahli panel yang berkredibiliti tinggi. Seterusnya program ini akan dimeriahkan dengan ‘Ekspo Ulul Albab’ yang mana terdapat aneka jualan dan Pameran Buku pada hari tersebut. Bagi menghangatkan lagi program ini, turut diselitkan pelbagai pertandingan yang cukup menarik antaranya pertandingan Blogger, fotografi, gubahan, booth tercantik dan banyak lagi.

Beberapa objektif penting telah digariskan bagi merealisasikan program berkembar ini menjadi realiti. Antara objektif tersebut ialah ke arah menghasilkan mahasiswa Ulul Albab kelas pertama. Selain itu, meningkatkan tahap keilmuan dan keintelektualan dalam kalangan anak Perak dan ahli PERMATA khususnya serta seluruh mahasiswa Jordan amnya. Program ini juga bertujuan menyatukan idealisme dalam kalangan mahasiswa secara harmoni bagi meraikan pandangan yang pelbagai. Seterusnya, memupuk kesedaran mahasiswa tentang kepentingan dan perkembangan sepanjang tempoh ketamadunan Islam. Selain itu, program ini juga menjana mahasiswa proaktif yang mampu mengembangkan ilmu dalam segenap medium dakwah, serta melahirkan anak Perak dan ahli PERMATA (khususnya) serta seluruh mahasiswa Jordan (amnya) yang celik dan mahir turath Islami. Akhirnya, objektif terpenting mengukuhkan ukhuwah di kalangan kalangan anak Perak dan ahli PERMATA  serta seluruh mahasiswa Jordan.

Harapan menggunung daripada pihak penganjur agar program berkembar yang julung-julung kali diadakan di Jordan ini bakal mendapat sambutan dan partisipasi yang menyeluruh dalam kalangan mahasiswa Malaysia Jordan umumnya dan anak-anak Perak khususnya dari empat mantiqah iaitu Irbid, Mafraq, Amman dan Mu’tah selaku tuan rumah. Ayuh sama-sama kita meriahkan program yang sarat dengan ilmu dan informasi ini ke arah merealisasikan Kempen Ulul Albab agar menjadi realiti.

 

Leave a comment