Home » Ilmiah, Terkini PERMATA » KELAS TAFAQUH : Solat Sunat Istisqa’ (Solat Memohon Hujan)

KELAS TAFAQUH : Solat Sunat Istisqa’ (Solat Memohon Hujan)

Kitab Anwar Masalik Syarah Umdatus Salik wa Uddatun Nasik

Disampaikan oleh : Dr. Abdullah Fawwaz

Pengenalan

Dari sudut bahasa bermaksud memohon hujan iaitu lebih umum samada memohon daripada Allah atau daripada hamba.

Dari sudut syara’ bermaksud hamba memohon daripada Allah taala menurunkan hujan ketika mempunyai keperluan (contoh: kemarau yang panjang).

Solat ini kebiasaannya dilakukan apabila tanaman tidak berhasil kerana kemarau atau terputusnya  air yang menyebabkan manusia dahaga atau air yang ada tidak mencukupi untuk keperluan dan sebagainya.

Hukum

Sunat Muakkad iaitu sunat yang sangat digalakkan.

Sebelum solat

Antara perkara yang perlu diperingatkan oleh imam kepada para jemaah untuk solat ini ialah :

  • Menyuruh mereka bertaubat
  • Bersedekah
  • Berbaik-baik dengan musuh (jika permusuhan tersebut bukan kerana Allah),
  • Berpuasa tiga hari.
  • Pada hari keempat, keluar ke tanah lapang dalam keadaan berpuasa dan memakai pakaian sederhana. Di samping itu, keluar bersama golongan wanita yang tiada halangan, binatang ternakan, golongan tua dan lemah, golongan kanak-kanak, para solihin dan kaum kerabat keturunan Rasulullah (untuk mengambil syafaat dengan mereka).
  • Menyebut amalan kebaikan dan mengambil syafaat dengannya (seperti yang dilakukan oleh ahli gua (kisah ahli gua yang memohon kepada Allah dengan menyebut amalan kebaikan mereka untuk melepaskan diri mereka daripada batu besar yang menutup jalan keluar)
  • Sekiranya keluar ahlu zimmah (non-muslim yang berada di bawah pemerintahan kerajaan Islam) tidak dihalang mereka untuk turut keluar  tetapi hendaklah diasingkan tempat mereka.

Cara menunaikan solat sunat istisqa’:

Solat ini mengandungi dua rakaat seperti solat sunat hari raya (pada takbir dan dibaca dengan bacaan kuat)

Khutbah Solat Sunat Istisqa’

Mengandungi dua khutbah, sama seperti khutbah sunat hari raya melainkan pada khutbah Istisqa’ dimulakan kedua khutbah tersebut  dengan ‘istighfar’ ganti kepada takbir dan memperbanyakkan di dalamnya ‘istighfar’ dan selawat kepada Nabi Muhammad sallahua’laihi wassalam.

Lafaz istighfar adalah seperti berikut: (surah Nuh ayat: 10)

  • Sunnah pada akhir khutbah yang kedua ;

1)       Khatib menghadap qiblat (membelakangi makmum)

2)      Bagi khatib dan sekalian makmum membalikkan selendangnya (serbannya) dengan menjadikan yang sebelah atas menjadi ke bawah dan yang sebelah kanan menjadi ke kiri.

  • Disunatkan bagi khatib (pengkhutbah) membaca doa kekadang dengan jahir (suara keras) dan kekadang dengan sir (suara perlahan) dan sekalian yang hadir mengangkat tangan ketika berdoa.

Info Tambahan

  • Sekiranya mereka  selesai bersembahyang namun hujan masih belum turun, ulangi kembali solat istisqa’ dan khutbah.
  • Sekiranya hujan turun sebelum solat maka hendaklah diteruskan solat istisqa’ dan berkhutbah sebagai tanda bersyukur kepada Allah dan mohonlah ditambah hujan (sekiranya berhajat kepadanya).
  • Disunat membuka sebahagian badannya (selain aurat) supaya hujan yang turun di permulaan mengenainya
  • Disunatkan bertasbih ketika mendengar guruh dan petir. Ucaplah ketika mendengar guruh :
  • (سبحان من يسبح الرعد بحمده)

  • Dan ketika mendengar bunyi petir ucaplah :
  • (سبحان من يريكم البرق خوفا و طعما)

  • Disunatkan apabila hujan turun lebat dan bimbang memberi mudharat membaca doa untuk mengangkat mudharat. Doa tersebut adalah :
  • (اللهم حوالينا ولا علينا)

Disediakan oleh : Nur Shahidah bt. Ab. Hamid (Unit Penerbitan dan Penyelidikan, Biro Akademik, PERMATA)

Leave a comment