Jabatan Penuntut Malaysia Jordan (JPMJ) dan Persatuan Mahasiswa Malaysia Mu’tah (PERMATA) melalui Biro Akademik PERMATA 09/10 telah menganjurkan sebuah program khas buat mahasiswa Mu’tah sempena cuti semester iaitu Daurah Matan Hadis. Daurah yang dianjurkan dengan kerjasama Badan Kebajikan Anak Perak Jordan (BKAPJ), Majlis Pelajar Kedah dan Badan Kebajikan Mahasiswa Negeri Sembilan (BKMNS) ini telah berlangsung pada 14 Jun 2010 bertempat di PUSkMA bermula dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Yuran pendaftaran hanya sebanyak J0.50 sahaja. Seramai 54 orang peserta telah mengambil bahagian di dalam daurah ini. Setiap peserta telah dibekalkan makanan, kitab matan beserta ringkasan daurah . Kami dari pihak Biro Akademik juga telah mengundang seorang pembentang hebat yang sedang menyiapkan PhD dalam bidang hadis di WISE Universiti, Amman iaitu Ustaz Anuar Riduan bin Zakaria.
Daurah Matan Hadis pada kali ini bertemakan “Kekayaan Turath Islami”.
Objektif program ini diadakan antaranya adalah:
- Memperkaya turath islami dalam kalangan mahasiswa.
- Meneruskan objektif dalam usaha menghidupkan biah ilmiah.
- Penguasaan yang mantap dalam kalangan mahasiswa di dalam ilmu hadis di samping pengajian-pngajian yang dipelajari di dalam universiti.
- Memanfaatkan masa cuti mahasiswa dengan perkara-perkara ilmiah.
- Menjadikan kitab-kitab turath sebagai sumber utama di dalam rujukan.
Antara perkara penting yang diperolehi sepanjang Daurah Matan Hadis ini berlangsung ialah:
- Mempelajari secara ringkas gambaran sejarah perkembangan ilmu hadis.
- Membedah buku matan ‘al-baiquniyyah’ dengan lebih mendalam.
- Mendapat gambaran umum berkenaan ilmu sains hadis.
Secara keseluruhannya program Daurah Matan Hadis ini berjalan dengan lancar. Walaupun program ini berlangsung pada waktu cuti semester namun program ini masih mendapat tindak balas dan kerjasama yang baik daripada ahli PERMATA. Mudah-mudahan program yang julung-julung kali diadakan ini dapat memberikan manfaat dan faedah kepada semua mahasiswa Mu`tah serta dapat diteruskan lagi di masa yang akan datang.
KEKAYAAN TURATH ISLAMI
“MAHASISWA MATANG PERMATA GEMILANG”
Disediakan oleh,
NUR SHAHIDAH BINTI AB.HAMID
Setiausaha,
Daurah Matan Hadis.
.
