Home » BP, Terkini PERMATA »

MU’TAH, 17 JANUARI  2012- Biro Perhubungan (BP) PERMATA  telah menganjurkan program  Jaulah Tautan Hati PERMATA yang bertemakan “Cakna Ukhwah Mencangkir Pengetahuan” pada 17,18,19 Januari 2012 lepas. Seramai 115 orang peserta melibatkan diri yang terdiri daripada mahasiwa/wi Mu’tah. Antara objektif jaulah ini ialah merapatkan ukhwah sesama keluarga PERMATA melalui jaulah yang dianjurkan disamping menambah pengetahuan dan pengalaman, melawat kesan-kesan sejarah yang terdapat di Jordan, dan merehatkan minda dengan aktiviti-aktiviti santai sambil menambah pengetahuan am di bumi anbia’.

Jaulah Tautan Hati PERMATA ini mengandungi 3 pakej iaitu pakej A, pakej B dan pakej C.  Pakej A iaitu ke Jerash, Ajlun dan Umm Qaisy manakala pakej B iaitu ke Petra dan  Aqobah. Pakej C adalah merangkumi kedua-dua  destinasi  pakej A dan B .

 

Sebelum bertolak telah diadakan taklimat ringkas dan bacaan doa untuk keselamatan sepanjang jaulah. Program bermula seawal jam 7 pagi pada 17 Januari dengan bertolak ke destinasi pertama iaitu ke  Jerash. Semasa dalam perjalanan, peserta diberi pamphlet setiap seorang yang menceritakan secara ringkas mengenai sejarah tempat yang akan dituju. Perjalanan mengambil masa selama tiga jam setengah. Rombongan tiba di Jerash pada jam 11.30 pagi dan para perta dibekalkan sarapan pagi oleh ahli jawatankuasa  pelaksana program. Pada jam 12.00 tengah hari, para peserta diberikan taklimat dan penerangan ringkas mengenai sejarah Jerash. Para peserta mengambil peluang untuk meneroka setiap pelusuk Jerash serta mengambil gambar sebagai  tanda kenangan.

 

Terpancar kepenatan di wajah peserta namun,tergaris seratus senyuman apabila perjalanan diteruskan ke destinasi kedua iaitu Qolaah Ajlun. Buat pengetahuan semua, Ajlun adalah kubu pertahanan pada zaman pemerintahan Rom. Para peserta tidak melepaskan peluang untuk menghayati kesan sejarah yang terdapat di sana.

Jaulah diteruskan ke Umm Qaiys pada jam 3 petang dan sampai ke destinasi sejam kemudian . Para peserta tidak melepaskan peluang untuk bergambar di sekitar Ummu Qaiys. Di samping itu, para peserta juga diberikan penerangan tentang sejarah Umm Qaiys oleh ajk pelaksana jaulah yang terlibat. Setelah itu,rombongan kembali ke Mu’tah dan tiba pada jam 9.30  malam.

Keesokan harinya,perjalanan diteruskan seawal jam 7 pagi menuju ke Petra. Rombongan sampai ke Petra pada jam 10.30 pagi. Para peserta menghabiskan masa selama lebih kurang 4 jam untuk meneroka seluruh kawasan Petra. Walaupun keletihan,rasa puas hati terbit di wajah para peserta kerana telah berpeluang untuk menjejakkan kaki di Petra.

Destinasi seterusnya dan juga destinasi terakhir ialah Aqabah atau dikenali sebagai Laut Merah yang merupakan destinasi yang dinanti-nantikan oleh semua peserta. Rombongan tiba di Aqabah pada jam 7.30 malam dan bermalam di hotel di Aqabah. Keesokan harinya, pada jam 7pagi peserta diminta berkumpul di pantai dan sedikit taklimat dan ucapan oleh Ustazah Syafiqah Salleh seterusnya peserta dibekalkan sarapan pagi sebelum diberikan kebebasan untuk aktiviti kendiri untuk membeli belah dan menaiki bot di pantai. Aqobah adalah destinasi yang ditunggu-tunggu oleh para peserta kerana Aqobah merupakan salah satu “syurga membeli belah”. Para peserta mengambil peluang untuk membeli-belah di bandar Aqabah kerana Aqabah terkenal dengan barangan yang murah harganya serta banyak pilihan.

 

Pada jam 1.30 petang, peserta dibawa ke pantai Aqabah yang sangat indah pemandangannya. Pelbagai aktiviti dijalankan. Antaranya ialah ikat tali kasih, makan berkumpulan, mandi laut , bola sepak pantai dan BBQ. Selepas itu, rombongan bertolak pulang ke Mu’tah  pada jam 7.30 malam.

Akhir sekali, semoga Jaulah Tautan Hati PERMATA mencapai objektif dan merupakan salah satu wasilah untuk mengeratkan ukhwah diantara keluarga PERMATA melalui jaulah yang dianjurkan di samping menambahkan pengetahuan dan pengalaman.

 

Yang Menjalankan Tugas,

Asma Laili Bt Jambri

Setiausaha,

Jaulah Tautan Hati PERMATA

 

 

Leave a comment