content top
PROGRAM “SOCIAL SERVICE” : SANTAI, NAMUN BERMAKNA

PROGRAM “SOCIAL SERVICE” : SANTAI, NAMUN BERMAKNA

MU’TAH , 8 OGOS 2009 – Satu program amal telah berjaya dijalankan hasil usaha serta kerjasama yang erat di antara pihak Malaysian Student Department (MSD) bersama Universiti Mu’tah.

Madrasah Mu’tah Lilbanin telah dipilih sebagai lokasi gotong-royong bagi menjayakan program “Social Service” ini. Mahasiswa Mu’tah yang cukup terkenal dengan semangat ukhuwwah serta perpaduan tidak ketinggalan dalam menjayakan kerja amal ini.
Seawal jam 7.30 pagi seramai 17 orang yang terdiri daripada mahasiswi Mu’tah serta 17 orang mahasiswa Mu’tah telah berkumpul di hadapan Masjid Syuhada’ sebelum mereka bergerak ke tempat gotong-royong. Tepat jam 8.00 pagi mereka mula bergerak ke lokasi pilihan yang merupakan sekolah menengah khusus untuk murid lelaki di Mu’tah.
Program turut diceriakan dengan kehadiran daripada pihak MSD yang terdiri daripada TYT Dato’ Abdul Malek Bin Abdul Aziz , Duta Besar Malaysia ke Jordan , Tuan Hj Sulaiman bin Ismail , AMP Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Jordan berserta kakitangan-kakitangan yang lain .
Dengan kehadiran mereka yang sudi turun padang bersama mahasiswa Mu’tah telah berjaya memeriahkan suasana program tersebut . Sewaktu aktiviti berlangsung , ubat-ubatan turut diagihkan kepada seluruh peserta program amal ini . Antara aktiviti yang mereka jalankan ialah mengecat kelas berserta pintu . Segala kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh semua peserta jelas terpancar memandangkan mereka berjaya menyiapkan segala tugasan pada jam 11.30 pagi .
Setelah itu , seluruh mahasiswa Mu’tah telah diarahkan berkumpul di suatu tempat bagi mendengar sepatah dua kata daripada saudara Ahmad Amiruddin bin Ibrahim selaku Presiden PERMATA bagi sesi 2009/2010 . Dalam ucapan tersebut , beliau ada menekankan tentang aspek komitmen yang diberikan oleh ahli PERMATA masih belum berada di tahap yang memberangsangkan . Sehubungan itu , seluruh pihak terutamanya barisan kepimpinan PERMATA bagi sesi kali ini haruslah bergiat lebih aktif serta efektif bagi mengurangkan kadar ahli yang pasif dalam kalangan warga PERMATA . Kemudian , kira-kira jam 12.00 tengah hari mereka telah bergerak ke Mazar dengan menaiki bas yang telah disediakan .
Setelah menjamu makan tengah hari di situ , sedikit cenderahati yang berupa al-Quran bersaiz sederhana telah diberikan kepada seluruh peserta program ‘Social Service’ sebagai tanda penghargaan kepada mereka . Sebelum pulang mereka sempat bergambar sebagai tanda kenangan . Kesimpulannya program ini telah berjaya mencapai objektifnya iaitu untuk membantu membersihkan serta membaikpulih kelas-kelas di Madrasah Mu’tah Lilbanin di samping merapatkan ukhuwwah di antara satu sama lain . Akhir kata , syabas diucapkan kepada pihak MSD , Universiti Mu’tah , Biro Kebajikan dan Penempatan PERMATA , ahli PERMATA , serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program amal ini .

Syabas dan tahniah diucapkan buat anda semua!!

Pelajar Mu'tah
Pelajar Mu'tah

Share/Save/Bookmark



Leave a Reply