Oleh : Muhammad Shahrul Ifwat bin Ishak
Pelajar Tahun Akhir Universiti Mutah Kuliah Syariah takhasus Fiqh wa usul
Bumi Jordan merupakan antara pusat ilmuan yang terkemuka di tanah arab. Dengan kekayaan khazanah ilmu dan sejarah menjadikannya antara pilihan utama mahasiswa Malaysia. Antara kelebihan belajar di Jordan:-
1. Sistem pengajian yang lebih bersistematik dan ala barat menjadikannya diiktiraf dan diutamakan oleh kerajaan Malaysia dengan peluang pasaran modal insannya lebih luas apabila pulang nanti.
2. Keadaan masyarakat yang memudahkan pergaulan antara orang luar ditambah pula dengan bahasa arab Jordan yang lebih hampir dengan fushah membantu penguasaan bahasa arab mahasiswa dengan cepat.
3. Peluang untuk aktif dengan aktiviti ko-kurikulum dan kepimpinan dengan peluang persatuan-persatuan di sini yang mana mendapat pengiktirafan dan sokongan daripada Jabatan Penuntut Malaysia.
4. Kepelbagaian Universiti di Jordan menjadikan mahasiswa dapat bertukar-tukar idea dan pengalaman.
Namun begitu, bagi sesetengah orang melihat pengajian islam di Jordan agak kurang dari beberapa sudut. Di sini ada beberapa salah tanggapan terhadap mahasiswa Jordan terutamanya Mu’tah. Antaranya :-
1. Pengajian sistem akademik di Universiti tidak setanding dengan sistem talaqqi. Ditambah pula peluang untuk bertalaqi di sini agak kurang.
Ini adalah satu tanggapan yang salah. Walaupun berasaskan silibus akademik moden, rujukannya tetap daripada kitab turath. Selain itu juga pihak persatuan juga ada menjemput beberapa pensyarah kuliah Syariah untuk mengadakan kelas tafaqquh dikalangan mahasiswa Malaysia. Untuk pengetahuan juga, sekiranya pelajar berhajat untuk bertalaqi dengan pensyarah jamiah bolehlah berjumpa secara peribadi dengan mereka.
2. Pembelajaran lebih kearah mengejar matlamat pencapaian akademik bukannya ilmu. Fokus hanyalah kepada peperiksaan.
Tiada beza antara akademik dan ilmu. Untuk mencapai kecemerlangan akademik, pelajar perlu memahami subjek, merujuk pensyarah, menghafal dan mencari bahan rujukan. Semua ini merupakan adab-adab seorang penuntut ilmu. Pencapaian akademik juga merupakan ukuran kepada ilmu yang dipelajari. Tanpa peperiksaan, mahasiswa tidak akan bersedia dengan ilmu mengaplikasikan apa yang dipelajarinya.
3. Masa pengajian selama 3 tahun lebih sahaja tidak mencukupi dengan satu semester pengajian hanyalah 18 jam kredit sahaja.
Masa yang ditentukan oleh pihak Universiti tersebut adalah masa formal dan sesuai untuk semua lapisan mahasiswa. Menjadi tanggungjawab kepada mahasiswa untuk menambahkan lagi pengajian mereka. Antaranya:-
1. Mengikuti kelas-kelas pengajian takhasus lain sekiranya mempunyai kelapangan.
2. Mengikuti kelas-kelas pengajian yang dianjurkan oleh Persatuan.
3. Mengikuti seminar-seminar yang dianjurkan oleh pihak jamiah
4. Sekiranya berkesempatan di hujung minggu,bolehla menyertai kelas talaqi di Amman.
Berikut adalah kelemahan-kelemahan mahasiswa-mahasiswa yang perlu diambil perhatian. Antaranya:-
a. Tidak membina hubungan yang baik dikalangan pensyarah. Ramai mahasiswa yang tidak aktif dalam kelas dan tidak merujuk pensyarah ketika di luar kelas.
b. Tidak memanfaatkan kemudahan maktabah, bilik syuun tolabah dan kemudahan bantuan akademik yang lain.
c. Tidak memahirkan diri dalam penguasaan bahasa arab dengan cepat.
d. Tidak membiasakan diri dengan perubahan cuaca di Jordan ini.
Hikmah-hikmah dan mutiara ilmu yang mungkin anda tidak sedari:-
1. Dr. Ali Zuqaili merupakan bekas Mufti dan Qadhi di Karak. Beliau seorang pakar dalam undang-undang yang berkaitan dengan Ahwal shakhsiah. Sangat sesuai untuk merujuk dalam bab ahwal shaksiah seperti nikah, talaq, ruju’ dan perkara yang berkaitan kekeluargaan.
2. Dr. Amin Butush, bekas mufti disalah satu negeri di Amarika syarikat serta bekas Mufti Karak. Pakar dalam bidang yang berkaitan dengan Quran, Hadith, perbandingan agama dan dakwah. Sangat sesuai untuk merujuk beliau perkara berkaitan dakwah dan kekeliruan yang ditimbulkan oleh orientalis. Selain itu juga beliau mahir bahasa Inggeris.
3. Dr. Hammad Azzam,merupakan seorang pensyarah muda di kuliah syariah. Pakar dalam bidang muamalat dan ekonomi moden. Sangat sesuai merujuk fatwa-fatwa berkaitan dengan muamalat samada moden ataupun lama.
4. Dr. Syueh Mahamid, bekas ketua Jabatan Fiqh dan Usul, kuliah Syariah, merupakan pakar dalam bidang fiqh muasirah. Sangat sesuai dalam merujuk masalah-masalah moden terutama berkaitan dengan perubatan.
5. Dr. Muhammad Said Hawa, anak kepada ulama terkenal Syria Said Hawa merupakan pakar hadith di Universiti Mu’tah. Sesuai untuk merujuk berkenaan dengan hadith.
6. Dr. Mustafa Abu Zaid, berkelulusan dari Amarika. Mempunyai thaqafah dan pembacaan yang tinggi berkaitan dengan isu-isu semasa serta umat islam seluruh dunia. Antara Pensyarah yang mengetahui perkembangan politik Malaysia.
7. Dr. Ahmad Mohammad Rawashdah, seorang pensyarah yang agak tegas. Pengajarannya lebih berbentuk membuka minda. Beliau pakar dalam bidang politik dan kehakiman islam.
8. Dr. Faris Marie, pensyarah yang berkelulusan PHD daripada Universiti Azhar ini menguasai kitab-kitab turath mazhab terutama mazhab Hanafi. Sesuai untuk merujuk permaslahan ibadat.
9. Prof. Dr. Abdullah Fawwaz, merupakan pensyarah yang agak mesra dengan pelajar. Beliau yang mahir dalam bidang murath dan pusaka.
10. Dr. Zu’bi, pensyarah Kuliah Adab ini mempunyai hubungan yang baik dengan pelajar luar Jordan. Sangat sesuai untuk merujuk bahasa arab, nahu dan syair.
11. Dr. Amin Rawabdah, seorang pensyarah yang agak tegas namun amat menyukai pelajar Malaysia yang merujuknya. Beliau pakar dalam bidang nahu.