content top

LAPORAN PEMANTAPAN KENDIRI DAN MALAM GRADUASI 2010

Mu’tah -11 Jun 2010- Biro Perhubungan & Biro Kebajikan dan Penempatan PERMATA telah menganjurkan program Pemantapan Kendiri dan Malam Graduasi yang bertemakan “Kemahiran Dicakna Ukhuwah Terbina” bertempat di Pusat Khidmat Mahasiswa (PUSKMA) dan Café Kome. Program ini buat julung kalinya diadakan khas buat seluruh mahasiswi Mu’tah bagi mencungkil bakat-bakat mereka dan mendedahkan kepada mereka perkara-perkara baru.

Bermula pada jam 9.30 pagi sehingga jam 12.20 tengahari telah diadakan 2 pembentangan yang bertajuk ‘Uruf Masyarakat Arab di Jordan’ dan ‘Qarar Permata’ yang turut melibatkan mahasiswa Mu’tah.

Pertandingan Ratu Chef bermula selepas solat zohor dan makan tengahari bertempat di Café Kome. Program ini bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat mahasiswi Mu’tah dalam bidang masakan yang diberi tema “Masakan Wanita Berkerjaya”. Pertandingan ini melibatkan 4 biro di bawah PERMATA iaitu Biro Akademik, Biro Penerangan dan Penerbitan, Biro Kebudayaan dan Sukan, serta Biro Bimbingan dan Rohani.

Hidangan enak dan indah, pembuka selera~

Hidangan enak dan indah, pembuka selera~

Pada petangnya pula diadakan demonstrasi “Martial Art Show” dan “Do It Yourself”. Demo “Martial Art Show” dipersembahkan oleh ahli perempuan daripada Kelab Seni Silat Mu’tah Jordan (KSSMJ) sendiri. Para peserta turut didedahkan mengenai cara-cara mempertahankan diri ketika di dalam situasi yang mencemaskan. Demonstrasi yang kedua pula mendedahkan kepada para peserta tentang penjagaan keselamatan di dalam rumah. Peserta turut diajar cara-cara membaiki kerosakan-kerosakan kecil di dalam rumah.

Sempena meraikan para khirrijat yang telah menamatkan pengajian mereka di Universiti Mu’tah, pihak program turut menganjurkan Majlis Wida’ Khirrijat pada malamnya. Para Khirrijat diberi peluang untuk menyampaikan amanat pada mahasiswi-mahasiswi yang bakal meneruskan perjuangan mereka nanti. Bagi meraikan mereka, majlis ini turut diserikan dengan persembahan daripada BKDS dan para khirrijat sendiri. Pada akhir majlis pula diadakan tayangan slideshow dan acara memotong kek. Sebelum bersurai, semua peserta bersalaman dengan para khirrijat.

Akhir sekali, semoga program ini dapat memberikan impak yang besar pada seluruh mahasiswi Mu’tah dan segala ilmu yang diperolehi daripada program ini dapat dipraktikkan dengan sebaiknya.

Disediakan oleh,

Syafiqah Binti Salleh,

Setiausaha,

Program Pemantapan Kendiri dan Malam Graduasi,

Sesi 2009/2010.

Share/Save/Bookmark



Leave a Reply