Assalammualaikum buat semua warga Mu’tah .
Dalam kesibukan kita berada di bumi barakah ini diharapkan janganlah kita sampai mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa muslim .
Dek kerana terlalu sibuk dengan dunia mahasiswa ditambah lagi dengan peperiksaan yang sedang atau bakal ditempuh menyebabkan kita terlepas pandang beberapa aspek penting yang akibatnya cukup memberikan impak yang negatif bagi nilai diri seseorang yang bergelar mahasiswa muslim .
Di sini terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh semua individu mahasiswa amnya dan khususnya untuk warga Mu’tah yang dikasihi sekalian .
1. KELUAR MALAM
Bagi akhwat yang ingin keluar malam , pastikan tidak keluar berseorangan walaupun hanya ingin keluar dalam jarak yang dekat apatah lagi dalam jarak yang jauh .
Akhwat hanya dibenarkan keluar malam atas sebab-sebab yang penting sahaja seperti menghadiri kelas , mesyuarat , liqa’ , atau sekiranya berlaku kecemasan seperti ingin ke hospital dan sebagainya .
Akhwat juga diwajibkan keluar malam dengan ditemani murakib . Bukanlah niat untuk mengongkong ataupun membataskan pergerakan tetapi ini sebenarnya adalah untuk menjaga keselamatan dan kemaslahatan bersama .
Diharapkan syabab juga dapat memberikan kerjasama yang jitu dalam menjalankan tugas sebagai murakib .
Bertindaklah sebagai seorang mahasiswa muslim yang matang di samping menjaga batas-batas pergaulan yang berlandaskan syara’ .
Setiap pengorbanan yang saudara berikan pasti akan mendapat ganjaran dari-Nya , Insya Allah .
2. ETIKA BERPAKAIAN
Maksudnya: “Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku melihatnya, iaitu kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang berpakaian tetapi mereka bertelanjang (pakaian tiada menutup ‘aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama), yang berjalan melagak menggoyangkan bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak boleh masuk syurga bahkan tidak boleh menghidu baunya, padahal bau syurga itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup jauh).”
(Hadis riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis di atas semua pun telah ma’ruf akan kewajiban menutup aurat ke atas seluruh umat Islam .
Dalam konteks mahasiswa di Mu’tah khususnya kebiasaannya akan memakai sweater , winter coat dan sebagainya di kala musim sejuk ini .
Berikutan beberapa kejadian yang tidak diingini telah berlaku di kalangan mahasisiwi Mu’tah kebelakangan ini , haruslah diambil iktibar agar pisang tidak berbuah dua kali .
Berpakaianlah dengan kadar yang sederhana ,sweater yang tidak terlalu ketat , serta terlalu terang warnanya .
Walaupun perkara ini agak remeh namun inilah sebenarnya antara punca berlakunya perkara-perkara yang tidak dingini memandangkan kini kita berada dalam suasana persekitaran masyarakat Arab yang kuat hawa nafsunya .
Semoga dengan sedikit pesanan yang disampaikan ini sama-samalah kita berusaha berhijrah ke arah yang lebih baik . Insya Allah .
“ Mahasiswa Matang PERMATA Gemilang “
Disediakan oleh Biro Kebajikan dan Penempatan sesi 09/10