2 Januari 2010 – Biro Akedemik sesi 09/10 telah menganjurkan program “Menyelami Jarah Wa Ta`dil Hadith Nabawi s.a.w “ bertempat di PUSKMA bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Yuran pendaftaran dikenakan sebanyak JD1.5O sahaja kepada setiap peserta.Pihak program juga menyediakan makanan,kertas kerja dan kitab-kitab rujukan untuk para peserta program.
Program ini diadakan bertujuan untuk memperkenalkan hadith dan ilmu berkaitan dengannya secara teori dan praktikal serta membimbing mahasiswa merujuk dan mengkaji asas –asas hadith di samping melahirkan institut kajian hadith PERMATA.
Antara pembentang kertas kerja yang dijemput khas ialah : Ustaz Afiq Bin Adnan,Ustaz Shahrul Ifwat Bin Ishak,Utazah Siti Aisyah Binti Rais dan Ustazah Siti Fatimah binti Rafik.Kesemua pembentang kertas kerja bagi program ini merupakan mahasiswa daripada Fakulti Syariah Universiti Mu`tah, Jordan.
Antara pengisian yang terdapat dalam program ini ialah :
1 – Ilmu Sains Hadith (pembentangan ilmu hadith secara umum serta penekanan terhadap istilah-istilah dan perbezaan antara satu sama lain).
2 – Ilmu Takhrij Hadith (memperkenalkan kepada mahasiswa nama-nama kitab hadith,manhaj penulisannya dan jenis-jenis pembahagian kitab hadith serta membentangkan cara-cara merujuk kitab hadith ) .
3 – Hadith dan Fiqh serta kaitannya (menerangkan hubungan hadith dan fiqh,kedudukan hadith sebagai sumber hukum-hakam dan kesan perbezaan pendapat ulama dalam sesuatu isu).
4 – Praktikal Hadith (setiap kumpulan diberi satu hadith untuk mentakhrij hadith daripada sumber asal dan menilai setiap rawi hadith).
Alhamdulillah dengan komitmen dan minat daripada mahasiswa/mahasiswi serta kesungguhan daripada pembentang-pembentang kertas kerja,program ini telah berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai objektifnya .
Semoga semua mahasiswa dan mahasiswi yang menyertai program ini mendapat pengetahuan hadith yang berguna dan bermanfaat untuk kehidupan seharian sebagai seorang penuntut ilmu agama dan sebagai hamba yang taat kepada Allah dan rasulNya.
BERSAMA MENDALAMI KHAZANAH HADITH NABAWI S.A.W.
“MAHASISWA MATANG PERMATA GEMILANG”